Monday, December 10, 2018

Lauterbrunnen dan Mürren


💕Telah kujejaki Kota Cinta, Paris 
       bersama teman hidupku,
       Semoga  cinta kami akan teguh , 
       seteguh Menara Eiffel.
       Telah kujejaki  Kota Romantis , Venice
       menyelusuri sungai dengan  gondola,
       ditemani anak anak bukti cintaku,
       Telah kujejaki salji di pergunungan Alps,
       Bersama permata hatiku,
       Kedinginannya, sesejuk hubungan cinta,
       Putih hamparannya, sesuci dan semurni jiwa .💕                
        Aku begitu bersyukur kerana pada tahun ini , aku dapat merasai pengalaman tinggal di kawasan lembah pergunungan di Switzerland iaitu di Interlaken dan Lauterbrunnen.  Aku telah datang ke sini dua kali. Tahun lepas aku duduk di Lauterbrunnen manakala pada tahun ini (2017) aku duduk di Interlaken. Kedua dua tempat ini tidak jauh jaraknya antara satu sama lain.
         Aku tinggal  di sini  selama tiga hari dua malam. Aku menyewa apartmen dua bilik yang lengkap dengan dapur dan wifi percuma. Bilik yang aku duduki menghadap  kawasan pergunungan.  Alhamdulillah, setiap hari salji turun di sini.
          Pada hari ke dua , aku menziarahi Martha di Lauterbrunnen. Martha ialah tuan punya  rumah yang aku sewa pada tahun lepas. Rumahnya tiga tingkat. Dia tinggal di tingkat dua, aku pula di tingkat tiga. Anakku memanggilnya  nenek kerana usianya sudah menjangkau 70 tahun. Walaupun begitu, dia masih cergas. Dia tinggal bersama anak lelakinya.  Air terjun Staubbach Fall yang terkenal di Lauterbrunnen itu tidak jauh dari rumah Martha. 
             Setelah berbual seketika, aku mengucapkan selamat tinggal kepada Martha untuk meneruskan lagi pengembaraanku. Kami  menaiki kereta kabel dari Lauterbrunnen ke Grutschalp dan dari sini bertukar pula menaiki keretapi hinggalah  ke Mürren . Kami ingin naik hingga ke  Schilthorn tetapi laluan ditutup kerana cuaca buruk. Mount Schilthorn terkenal kerana menjadi lokasi penggambaran filem James Bond iaitu ‘ On Her Majesty’s Secret Services.’ 
              Sepanjang perjalanan menaiki kabel dan keretapi , pemandangan  kawasan sekelilingnya dipenuhi dengan salji yang memutih. Aku menghabiskan masa di Mürren dengan bermain salji dan bergambar. Setelah 2 jam berada di sini, kami turun semula ke Lauterbrunnen dan kembali semula ke Interlaken. 
               Sesudah makan malam di apartmen, aku mengajak suamiku turun  dari bilik. Aku ingin bersiar siar di kawasan sekitar.
Aku berjalan di laluan  pejalan kaki dengan salji  turun melayang layang dan melekat di baju dan di atas kepalaku. Momen ini  memang sangat indah. Kami berjalan berduaan, tangan berpegangan erat sambil berbual dengan riang. 

No comments:

Post a Comment

Eqa wedding